Saya paling rindukan lempeng kelapa yang selalu mak masak dulu. Selalunya selepas hujan mak akan masak. Baunya sahaja sudah cukup untuk membuatkan kami berkejar ke dapur. Cicah dengan gulai semalam atau dengan gula sahaja.
Masa kecil dulu apabila hujan lebat, lawan dengan lempeng dan kopi panas boleh lupa dunia dibuatnya. Tetapi mak tak kira, baik hujan atau tidak, lepas sahaja makan, saya, Ezani dan Atikah mak ingatkan supaya pergi mengaji Quran di rumah Ngah Senah. Mak kata kalau malas mengaji akan masuk neraka jahanam. Siapa rajin akan masuk syurga apabila mati kelak.
Masa itu saya tidak tahu sangat apa sebenarnya syurga dan neraka. Yang saya tahu lebih baik masuk syurga daripada neraka. Mak kata neraka berisi api. Saya ngeri mendengar cerita mak masa itu. Saya memang memasang angan-angan mahu masuk syurga sejak kecil lagi tetapi sekarang dimanakah saya akan ditempatkan, mak?
Dalam hujan itu saya dan Ezani akan berlari-lari sampai ke laman dan akan memotong pelepah pisang untuk mengantikan payung. Atikah akan menjerit-jerit apabila ditinggalkan. Masa itu dia masih kecil kan mak? Atikah adik yang baik. Saya tahu Atikah cukup risau jika tidak dapat pulang dari Virginia untuk melihat saya. Tak apalah mak, beritahu dia supaya bertenang menghadapi peperiksaannya di universiti. Jangan sampai terganggu. Jika dia tidak sempat melihat saya sebelum saya menutup mata pun, tak apa mak. Dia tidak pernah bersalah apa-apa dengan saya. Saya sentiasa mendoakan kejayaan dia mak.
Belajar mengaji di rumah Ngah Senah memang mengembalikan nostalgia yang abadi. Saya sempat menjeling ke arah Mashitah yang ayu. Matanya yang redup menyenangkan hati saya. Siapa sangka apabila besar kami akan belajar di universiti yang sama. Mulanya Mashitah tidak bertudung seperti sekarang. Dia senang melepaskan rambutnya yang keperangan itu dihembur angin. Dia memang cantik, dengan kemilau matanya yang membuat semua siswa kagum dan siswi cemburu. Tetapi satu hari pada bulan puasa dia bertanyakan kepada saya mengenai aurat. Saya terangkan kepadanya. Alhamdulillah, gadis yang bergelar ratu di kampus itu terbuka hatinya untuk menutup aurat. Selepas perubahan itu semakin ramai yang menggilai dia, mak.
Saya tahu dia menyukai saya tetapi nalurinya sebagai perempuan menghalangnya untuk meluahkan apa-apa. setiap tutur katanya yang teratur tetap abadi dihati saya. Dia terlalu istimewa. Sayang yang harus memulakan. Turus terang saya katakan kepadanya yang saya tak mahu berpeleseran seperti orang lain. Cinta tidak semestinya bebas berpegangan tangan dan melampaui batas. Saya meminta mak menghantar wakil ke rumahnya dan kami ditunangkan ketika sama-sama masih dalam tahun tiga.
Saya juga yang mencadangkan agar kami bernikah terlebih dahulu sebelum berlaku sesuatu yang tak elok. Mashitah bersetuju sahaja, tetapi keputusan saya memutuskan pertunangan mengejutkan seluruh keluarga kita dan Mashitah. Sedangkan tarikh pernikahan hanya tingal dua minggu sahaja lagi.
Itu adalah permulaan titik hitam dalam hidup saya. Mashitah yang baik, dia langsung tidak menyoal mengapa saya memutuskan pertunangan ini. Katanya dia faham saya tidak akan membuat keputusan ini jika tidak kerana terpaksa. katanya lagi, soalan mengapa saya memutuskan pertunangan hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Dalam riuh orang mempersoalkan keputusan saya, terlihat juga air mata berderai dari matanya yang redup dan sayu. Maafkan saya, Shitah. Saya tak mahu Mashitah sama-sama berkongsi derita ini jika dia terus hidup bersama saya.
Barah paru-paru bukan mainan. Biar semua orang mencemuh saya kerana mereka tidak faham. Hanya Mashitah yang tidak memprotes dan akhirnya dia tahu juga apa yang saya tanggung ini. Empat tahun telah berlalu, pertunangan yang tidak sampai ke akhirnya tetapi Mashitah masih belum menerima sesiapa. Baik benar dia mak. Seharusnya dia menerima seorang suami yang baik, bukan seperti saya yang hanya menghitung saat. Saya relakan dia bahagia.
Bersambung selepas solat jumaat..ngeekk
No comments:
Post a Comment