Wednesday, February 10, 2010

Salam Terakhir

 

Saya sebenarnya tidak tahu apa yang patut saya katakan apabila disoal begini. Bersediakah saya untuk mati? Entahlah... siapalah saya untuk mengatakan yang saya telah cukup ilmu di dada dalam menghadapi sakaratul maut yang mengetarkan jiwa. Saya masih terlalu banyak kekurangan. Terlalu kurang. Biarpun terus terang saya katakan pada usia ini saya belum pernah meninggalkan yang wajib dan banyak melakukan yang sunat. Semuanya saya lakukan dengan reda malah telah pun menjadi tabiat sebelum saya tahu akan menghadapi maut dalam masa terdekat ini.

Bukan saya mahu mendabik dada mengatakan saya baik namun inilah kenyataannya. Tetapi ini hanyalah suara hati saya, tiada siapa yang mendengar kecuali Yang Maha Esa. Saya hanya menunggu masa kini akan panggilan itu. Semua orang ingin hidup lama, kalau boleh seribu tahun. Tetapi ini takdir yang tak dapat diubah lagi. Kematian adalah noktah. Muktamad. Ketentuan yang tak akan berubah biarpun air mata darah saya tangiskan. saya menerima.

Mak, janganlah menangis. Saya sendiri tidak menangis apabila doktor mengesahkan saya menghidap barah ini mak. Saya tahu dan akur inilah ujian daripada-Nya. Selepas barah ini bertambah pula satu penyakit: buah pinggang saya rosak kedua-duanya. Mak menangis lagi. Saya lebih rela mencederakan diri daripada melukakan hati orang yang melahirkan saya. Saya terlalu sayang mak.

Apabila darah melambak-lambak keluar dari mulut, saya tidak terkawal lagi. Jatuh bagai daun kering. Maklah yang bersusah-payah mengelap darah hanyir itu. Mak, ampunkan saya kerana menyusahkan mak. Ampunkan anak mak ini. Sabarlah mak.

Mak menangis, saya juga semakin diusik pilu. Bagaimana kalau saya meninggal mak? Janganlah diratapi kematian saya mak. Biar saya pergi dengan tenang. Setenang wajah mak apabila melihat saya pada hari-hari yang lalu. Bertapa saya inginkan kehidupan yang hilang itu. Mak tak harus menyesal jika saya pergi kerana didikan yang mak bekalkan selepas kematian ayah, sempurna dan kukuh saya amalkan. Emak telah berjaya mendidik saya dan adik-adik. Tiada manusia yang menandingi mak.

Semalam mak datang kan? Saya tahu mak datang dengan Ezani. Saya dengar mak memanggil nama saya biarpun mata saya terpejam, mak. Saya ingin menjawab panggilan sayang daripada mak itu. saya terlalu rindukan mak. Hari Raya Haji yang lepas saya tak sempat mengucup tangan mak memohon ampun.

Saya terlantar dikatil besi ini, mak. Hendak mengerakkan jari pun saya tak mampu. Maafkan saya mak! Maafkan saya! Saya tak dapat menahan perasaan apabila mak mengucup dahi saya di pagi raya itu, mak bisikkan di telinga yang mak memohon kepada Allah supaya saya dapat jaga semula dan sembuh seperti sediakala. Terima kasih mak. Saya amat terharu. Jika itu doa mak, begitu juga doa saya. tetapi mak, koma tidak pernah menjanjikan harapan apa-apa. Apatah lagi kalau telah terlantar di wad ICU ini. Saya dapat mendengar berita kematian pesakit lain hampir setiap hari. Giliran saya bila pula mak?

Yang paling saya sedihkan dalam keadaan ini saya tak mampu menunaikan sembahyang biarpun hati saya meronta-ronta ingin melakukannya. Saya rindukan kekusyukan dan bermunajat. Saya tidak terdaya, hanya mampu berzikir di dalam hati. Saya tak ubah seperti mayat yang kejang, bezanya saya masih bernyawa, lemah. Itu pun kerana dibantu alat pernafasan, kalau tidak mungkin telah ada penghuni di tepi kubur ayah, kan mak? Saya pernah bergurau dahulu tempat di sebelah kubur ayah simpankan untuk anak sulungnya ini. Nampaknya gurauan itu akan menjadi kenyataan.

Mak, sebenarnya saya lapar. Telah lama saya tidak menjamah makanan seperti manusia lain. Hanya air yang dimasukkan ke dalam badan. Hampir lupa bagaimana rasanya nasi dengan sambal bilis, hampir hilang rasa pulut dengan ikan tamban kering. Badan saya seperti ikan dikelar di sana sini, mak. Seksa! Nasib baik mak tidak melihat di bawah baju biru yang menutupi tubuh saya, jika tidak tentu mak akan pengsan melihat kesan jahitan dari dada ke pusat. Perut saya juga ditebuk, saya bagai bahan uji kaji. Saya terlalu kerap dibedah untuk mengurangkan kesakitan. Namun, makin berat rasanya saya menanggung.

Bersambung... 



Note: masa mengemas pagi tadi, aku terjumpa 1 jilid cerpen dlm robok (almari). bila dibelek2 balik cerpen2 ni, baru aku teringat. dulu masa sekolah aku suka sgt kumpulkan cerpen2 dari majalah. bila dah byk, aku jilidkan supaya mudah utk aku baca balik kemudian hari. tak lah berterabur sana sini. well, sbb tak der cerita menarik ttg aku dlm beberapa hari ni, aku share lah salah 1 cerpen kesukaan aku dulu. 

Kredit kepada penulis asal cerpen ini, Shazmira Shahuddin

No comments: