copy from Sinar Harian 26 Dis 2008
SAYA berasal dari Kedah, berumahtangga di Rawang dan berpejabat di Shah Alam, Selangor.
Sejak lebih setahun lalu, saya bertugas dengan akhbar Sinar Harian edisi Terengganu.
Makanya, setiap hari saya berurusan dengan orang Terengganu. Sebelum ini, maaf cakap, Terengganu agak jauh dari hati saya. Tetapi dalam tempoh kurang lebih setahun ini, negeri penyu menjadi begitu dekat dengan saya. Lidah saya juga sudah semakin mesra dengan keropok lekor, nasi dagang, roti paun bahkan telur penyu juga.
Untuk lebih ‘menterengganukan’ diri, buku Growing Up in Terengganu tulisan Awang Goneng juga sudah saya beli meskipun selepas berbulan-bulan, buku itu masih juga tidak habis saya baca.
Ya, Terengganu semakin dekat di hati saya. Saya sendiri kurang pasti sebab sebenarnya mengapa. Saya masih teringat, ketika kali pertama berkunjung ke negeri penyu lebih sepuluh tahun lalu - ketika hati saya masih jauh dengan Terengganu - saya menjadi sangat tidak faham, malah boleh dikatakan keliru dengan budaya orang negeri itu.
Pernah di Kampung Gaung, dekat Kuala Berang, saya berhenti di sebuah gerai tepi jalan untuk membeli buah. Di situ, saya melihat ada buah yang tidak pernah saya lihat, lalu saya bertanya kepada si penjual: “Abang, ini buah apa?”
Lalu dijawab si penjual: “Oh, itu, buah hutang!”
Mendengar jawapan penjual itu, saya pun berkata: “Kalau macam itu, tak bolehlah saya beli...”
Dia pula bertanya: “Mengapa?”
“Yalah, abang kata buah hutang. Saya datang dari jauh, saya nak bayar cash, susah hutang-hutang ni,” kata saya.
Sebenarnya, apa yang dimaksudkan oleh si penjual ialah buah itu, buah kerkuk, datang dari hutan, bukannya hutang.
Selepas mendapat pengajaran pertama di Kampung Gaung, saya pun bertekad untuk cuba belajar bercakap dalam dialek Terengganu. Saya kira, bukannya susah, cuma tambah ‘g’ bagi perkataan yang berakhir dengan ‘n’ dan mana-mana perkataan yang berakhir dengan ‘a’, dibunyikan ‘e’ manakala ‘satu’ ditukar kepada ‘se’.
Dengan itu, suatu hari saya singgah di sebuah warung di Batu Burok pada kira-kira jam empat petang. Dengan keazaman untuk ‘menterengganukan’ diri, saya pun minta kepada peniaga warung itu: “Beri saye nasi dagang se!”
Terpinga-pinga saya apabila diketawakan oleh si peniaga yang berkata: “Mane ade nasi dagang petang-petang nih. Nasi dagang pagi je!”
Aduh, malunya ...
Sejak itu, saya tidak berani hendak cuba bercakap Terengganu lagi. Rupa-rupanya dalam berbahasa, bukan sekadar melentur lidah sahaja. Banyak lagi perkara yang kena tahu tentang latar budaya penduduk tempatan.
Walaupun begitu, selepas lebih setahun ini, saya tetap berasa Terengganu semakin dekat di hati. Ini kerana, bagi saya negeri ini memang hebat. Negerinya hebat, orang-orangnya pun hebat. Saya bukan semata-mata bermaksud anak dara comel lote yang berniaga kain batik di Pasar Payang. Mereka itu sememangnya hebat!
Jika saintis-saintis marin yang hebat dari seluruh dunia masih belum berjumpa atau temui bukti akan kewujudan ikan duyung melainkan hanya dalam cerita mitos, di Terengganu sudah lama ada Pulau Duyong.
Sementara dalam keadaan begitu banyak tempat banjir pada musim tengkujuh setiap tahun, ada tempat di Terengganu yang tidak pernah ditimpa hujan iaitu Bukit Payong.
Pulau paling ringan di dunia pula, semua orang tahu Pulau Kapas di Marang. Dan hanya orang Terengganulah sahaja yang mampu menghentikan pulau yang sedang hanyut iaitu Pulau Perhentian.
Itu belum lagi bercerita mengenai kehebatan Durian Guling, Imam Lapar, Nasi Dingin atau Paya Berenjut di Kemaman. Saya juga sering tertanya-tanya sama ada bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Allahyarham Tun Said Keruak berasal dari Kampung Keruak, Besut.
Sepanjang tahun 2008 yang semakin menghampiri penghujung ini, kehebatan Terengganu nyata begitu terserlah.
Saya katakan begitu sudah tentulah mengenai kehebatan Abang Mat dari Merchang yang mencetus kontroversi kerana terpaksa berulang alik ke Mahkamah Syariah meminta kebenaran untuk berkahwin kali keempat meskipun kesemua isterinya yang terdahulu sudah bersetuju.
Bukan itu sahaja, Encik Bakar Broker Tanah dari Manir juga turut membuktikan kehebatan kerana berkahwin empat dengan persetujuan isteri-isterinya.
Tetapi semua itu belum mampu mencabar kehebatan Wook Kundor, wanita 106 tahun dari Kuala Berang yang kini hidup bahagia dengan suaminya, Non, 37 tahun yang saya difahamkan oleh rakan-rakan wartawan di sana, rumahtangga pasangan itu sangat bahagia dan romantis.
Tidak! Saya memuji-muji Terengganu bukan kerana ada niat hendak bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil 17 Januari ini. Saya pun seperti Tok Mun juga yang belum cukup-cukup lagi wang pertaruhan!
No comments:
Post a Comment