Thursday, March 04, 2010

Sate Jabi Jadi Tumpuan


jika di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan peminat sate boleh ke Kajang untuk menikmati sajian itu, di Terengganu lokasi tumpuan untuk orang ramai menikmati sate ialah di Jabi. bagi mereka yang tinggal di sekitar daerah Besut, Jabi bukanlah lokasi baru bagi mereka untuk menikmati sate. keenakan sate Jabi menjadi tumpuan penduduk dari negeri ini setiap kali mahu menikmati sajian tersebut. lokasinya di Kampung Bakap, Jabi di mana terdapat tiga buah gerai yang menjual makanan itu. pengunjung boleh memilih untuk ke gerai yang disukai memandangkan rasa dan keenakan setiap gerai berbeza.

terletak kira-kira 80km dari bandar raya Kuala Terengganu, pengunjung hanya perlu mengambil masa selama satu jam untuk ke kawasan tersebut. tidak perlu risau tersesat atau tidak menemui gerai sate berkenaan kerana apabila sampai sahaja di perkampungan tersebut, sebut sahaja sate Jabi pasti ramai yang ringan mulut untuk menunjukkan arah. jika tidak, lihat sahaja deretan kenderaan yang diletak di bahu jalan sejauh lebih kurang 500m pasti di situlah lokasinya.

menurut isteri kepada salah seorang pemilik gerai sate itu, Nurida Yunus, 42, pada mulanya suami dan ibu mertuanya berniaga secara kecil-kecilan sahaja. katanya, bermula dengan seekor ayam akhirnya gerai sate milik mereka iaitu Gerai Sate Lanang semakin popular dan kini menerima lebih 200 pelanggan sehari dengan 70 ekor ayam diperlukan untuk membuat sate.

"saya mula membantu suami sejak 16 tahun lalu, namun ketika itu gerai ini hanya sebuah gerai kecil dan tidak ramai pelanggan seperti hari ini.

"dari hari ke hari, gerai ini semakin popular sehingga setiap hari sebanyak 5,000 cucuk sate dijual dan sebanyak 45 kilogram nasi himpit ditanak," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

ketika ditanya apa rahsia keenakan sate buatannya, Nurida berkata, ia merupakan resipi yang diperoleh oleh ibu saudara mertuanya sejak zaman-berzaman dan yang paling penting daging lembu mesti diperoleh daripada lembu yang baru disembelih. menurutnya, semua bahan dan cara memproses dibuat secara tradisional menyebabkan rasa enak dan manis pada daging masih segar.

"seawal pukul 8 pagi, setelah bekalan ayam diperoleh, ia akan diproses sebelum diperap dengan rempah seketika dan kemudian mula dicucuk oleh beberapa orang pekerja.

"sekitar pukul 3 petang gerai mula dibuka dengan pelanggan sedia menunggu di hadapan gerai dan berakhir pada pukul 10 malam setiap hari," jelasnya.

tambah ibu kepada empat anak itu, dengan hanya mempunyai lapan orang pekerja di kalangan ahli keluarga, Nurida mengakui tidak mampu untuk menguruskan perniagaannya. jelasnya, disebabkan itu dia dan suami tidak menerima sebarang tempahan ketika bulan puasa mahupun hari raya bagi meluangkan masa bersama keluarga dan beribadat. menurutnya, setiap kali cuti sekolah atau cuti umum, gerainya akan dipenuhi pelanggan tidak kira penduduk tempatan mahupun dari luar.

"kebanyakan mereka merupakan pelanggan tetap kami yang sering singgah ke kawasan ini setiap kali melaluinya.

"walaupun ramai yang meminta kami membuka cawangan, namun buat masa ini kami belum memikirkannya memandangkan masih tidak cukup pekerja," jelasnya.

di Gerai Sate Lanang, pelbagai pilihan sate ditawarkan seperti ayam, lembu, hati dan limpa dengan harga 40 sen secucuk. jadi, jika anda ke Besut, jangan lupa singgah Jabi untuk menikmati keenakan sate di kawasan itu.

satu lagi yang menarik, Gerai Sate Lanang ni terletak berhampiran dgn jalan masuk ke Lata Belatan. bak kata orang, sebelum makan sate, boleh pergi mandi manda kat Lata Belatan dulu. tak sampai 4km dari Gerai Sate Lanang ni..

No comments: